Followers

Friday, January 29, 2010

Seronok DISANGKA Bahagia

'Tak syoklah kalau tak enjoy.Boring hidup kalau tak seronok',demikian respons para remaja jika ditanya tentang seronok.Bagi mereka seronok tu sama makna dengan bahagia.Bahagia tu sama dengan seronok.Keyakinan seperti itulah menyebabkan masyarakat amat meminati rancangan berkonsepkan hiburan dewasa ini.
Sememangnya mencari bahagia itu adalah fitrah manusia.TETAPI betapa ramai yang tertipu kerana ingin mengecap bahagia dengan cara mudah,segera dan seronok.Sebab itu,pantang ada iklan jalan pintas memiliki bahagia,manusia terus menerimanya.Pastinya keseronokan yang menjanjikan kebebasan amat sesuai dengan gejolak jiwa remaja.
Duhai saudaraku....
dalam mengharungi usia ini,remaja perlukan pedoman dan contoh teladan yang baik.Betapa ruginya hidup mereka jika dibiar mengharungi hidup dengan jiwa yang rapuh dan kosong.Perkataan 'frust','boring','tension' akan timbul dengan mudah bila mereka berhadapan dengan kesukaran dan cabaran.Jika ini terjadi,sudah pasti mereka mencari jalan melarikan diri dengan berselindung disebalik hawa nafsu dengan melakukan aktiviti luar yang liar.
Adalah menjadi misi syaitan untuk melalai dan melekakan manusia.Syaitan sering menjerumuskan manusia dengan tiket keseronokan.Itu sebabnya tidak pelik pada masa kini muzik 'heavy metal' menjadi ikutan remaja Islam sedangkan ia nyata memuja syaitan dan membawa ajaran anti Tuhan.
Sabda Rasulullah saw:
'Sesungguhnya neraka itu dipagari dengan kesenangan-kesenangan nafsu,manakala syurga pula dipagari dengan hal-hal yang dibenci oleh nafsu.'
Duhai saudaraku....
inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh para ibubapa,pendidik,pendakwah dan pemimpin masyarakat. Jiwa yang kosong dengan makanan rohani perlu diisi.Ketidakseimbangan keperluan fizikal dan mental dengan didikan agama mengheret remaja ke kancah yang bahaya.
Justeru itu.....
usaha perlu dilipatgandakan.Berikan pedoman agar nafsu mereka terdidik dengan pengaruh yang baik.Ingatlah bahawa orang yang seronok belum tentu bahagia tetapi orang yang bahagia sudah tentu seronok.

Saturday, January 16, 2010

Orang Tua yang NAKAL


Pada masa kini kita banyak menyentuh tentang isu remaja yang nakal.TETAPI kita jarang memperkatakan tentang orang tua yang nakal.Kalau diikutkan,orang tua inilah yang banyak mempengaruhi kehidupan anak-anak.
Kenakalan orang tua ini boleh kita temui di mana-mana.Bukan hanya di rumah....TETAPI di dalam masyarakat,orang-orang dewasa disekeliling kita dan ada di mana-mana.
Duhai saudaraku...

Kerosakan yang melanda remaja kini telah digambarkan dengan meluas.TETAPI bagaimana dengan orang tua?Sebenarnya masalah gejala sosial yang melanda negara kita ada kaitan dengan akhlak orang-orang tua yang nakal ini.Cuba kita lihat kenakalan orang tua di dalam keluarga.
1. Soal akhlak Islam dipinggirkan

Adalah perkara biasa jika orang tua menyuruh anak membeli rokok.Pagi ini,di belakang dewan astaka,sebelum sampai ke sekolah,saya menemui pelajar yang merokok dan dia tidak perasan yang dia sedang bercakap dengan seorang guru.Dia terus hisap sambil membalas pertanyaan saya yang membuktikan bahawa merokok itu sudah menjadi kebiasaan padanya sampai tak perasan siapa di depan dia.Saya kira perkara yang sama dilakukan di rumah.Tiada siapa yang ditakutinya kerana ayah dan abangnya juga merokok.
2. Mengabaikan perlaksanaan syariat

Contoh yang nyata ialah solat.Samaada orang tua pun tak solat atau melengah-lengahkan solat.Kesian..ada anak membesar tanpa diingatkan atau disuruh solat!Antara sebab kes datang lewat ke sekolah apabila ditanya adalah kerana ibubapa tidak kejutkan mereka pada waktu pagi.Benar atau tidak,wallahualam.Bila mereka yang datang lewat ni dikumpulkan,suruh ambik wudhu' dan qadha' solat subuh bagi yang belum solat,nampak betapa ibubapa benar-benar lepas tangan dalam memimpin anak-anak mereka.
3. Kurang perhatian dan kasih sayang
Anak yang membesar tanpa perhatian biasanya menjadi seorang yang keras hati dan anak yang membesar tanpa belaian kasih sayang jiwanya akan ketandusan sikap lemah-lembut.
Sabda Rasulullah saw:
'Orang yang paling baik di antara kamu ialah yang paling penyayang kepada keluarganya.'
Bagaimana pula kenakalan orang tua dalam masyarakat?
1. Tidak bekerja sesungguh hati.
Masih ada orangtua suka lepak di kedai kopi,main judi,dam.Kalau malas kerja alamat tidak berasaplah dapur kalau takda pendapatan tetap!

2. Berapa ramai orang tua yang mengunjungi pub,kelab malam,pusat karaoke?
Bukan setakat pergi,yang mabuk terhoyong-hayang tu apa cerita?Jika di luar bandar,budaya berkaraoke di waktu malam dah jadi kebiasaan di sesetengah tempat.Yang sedihnya,para ibu pun ada melalak sama!
3. Menonton video lucah atau membeli bahan lucah.

Terlalu mudah untuk mendapatkan bahan-bahan ini sekarang.Kalau orangtua pun beraksi muda kembali,apatah lagi anak-anak yang memang muda remaja!Tidak tergambar rasa muak saya bila menemui satu kes di mana ibubapa menonton video lucah bersama anak-anak seawal usia mereka belum mencecah alam persekolahan lagi.Kesannya,semasa di sekolah rendah lagi,anak tersebut telah terlibat dengan berbagai kes termasuk kes merogol!
Kenakalan orang tua dalam pemerintahan?Ada ke?

Sebagai barisan yang mempunyai kuasa,sepatutnya mereka ni berusaha membenteras dan menutup tempat-tempat maksiat.Ini tidak lesen arak,judi,kelab malam,tempat pelacuran terus hidup bagai cendawan tumbuh selepas hujan.Ini kita salahkan remaja sahaja,sedangkan orang-orang tua inilah yang menyediakan sarang-sarang pelacuran dan maksiat!(gambar sekadar hiasan)
Duhai orangtua.......

Jangan salahkan remaja secara melulu.Mereka mungkin korban keadaan yang dilakukan oleh orang-orang tua.Sepatutnya bila kubur kata mari,rumah kata pergi,mereka perlu lebih serius dalam memimpin anak-anak ke jalan yang benar.Renung-renungkanlah.....selagi orang tua ni tidak dibetulkan,begitulah jua anak-anak yang lahir dari kantung mereka!

Monday, January 11, 2010

Rancanglah Untuk DIRI


Seringkali kita membuat perancangan dalam meniti kehidupan seharian.Nak makan angin bersama keluarga pada cuti hujung tahun,kita dah rancang awal samaada dari segi kewangan atau tempat yang ingin dilawati.Nak memetik pujaan hati sebagai pasangan hidup,bertahun kita buat perancangan.Kalau boleh,hari tersebut dapat dikenang oleh orang seumur hidup.Bagi guru pula,perancangan strategik perlu dibuat untuk 5 tahun ke hadapan.

Namun...pernahkah kita merancang dalam usaha untuk mencari kebahagiaan di akhirat?Pernahkah kita menimbang-nimbang untuk meningkatkan amalan diri?Renungi jejak-jejak waktu yang kita tinggalkan.Berapa kalikah kita tewas bila diuji dengan kesenangan dan kebahagiaan dunia....bahkan kesyukuran seolah-olah seperti bebayang mimpi di siang hari.
Firman Allah swt:
'Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-mnain dan senda gurau belaka.Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.Maka tidakkah kamu memahaminya?
(Surah Al-An'am:32)

Duhai teman....
sama-samalah kita pohon hidayah dari Allah agar kebekuan hati ini berganti....yang sejuk bertukar hangat oleh cahaya keimanan!

Friday, January 8, 2010

Mampukah KU lalui


Sesi persekolahan telah bermula.Pelajar datang dan pergi.Tahun ini kita berhadapan dengan pakej pelajar baru dan lama.Betapa masa begitu cepat berlalu...tidak sedar mereka semakin dewasa dan lebih besar.

Tidak dapat tidak manusia diburu dengan pelbagai masalah.Ada kala marah bertandang,adakala ceria menyelubungi hari.Ada waktu moody menyerang.Ada waktunya jadual hidup jadi tak keruan.Buat itu salah.Buat ini silap.Raut wajah menjadi murung,dan pastinya mudah melenting bila ditegur.Usikan kawan mendesis di cuping telinga.Mulut pula tidak lekang menyebut 'stress'.Inilah antara reaksi manusia apabila berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan seperti beban tugas yang tak terpikul,tidak dapat kerjasama dari rakan setugas dan pelajar yang tidak mendengar kata.Semua ini benar-benar menuntut kekuatan mental dan fizikal yang bukan sedikit. 

Istilah sekarang yang digunakan ialah 'jiwa kacau'.Apapun, situasi atau keadaan ini perlu dielakkan bagi melancarkan proses aktiviti seharian.Sebenarnya disiplin adalah pemangkin dalam mengharungi kehidupan ini.Tanpa disiplin pengurusan hidup jadi kacau.Bukan mudah untuk mengatasinya,tetapi kita perlu berusaha.
Antara yang boleh anda lakukan ialah atur masa dengan teliti.Tulis semua perkara yang perlu dilakukan.kemudian lakukan pekerjaan tersebut secara berfasa,mula dari yang mustahak dulu.Pastikan anda sertakan waktu solat,mengaji dan membaca Al-Mathurat.
Di samping itu,tenangkan tubuh dengan berehat dan buat sesuatu yang anda suka seperti mengunjungi blog teman-teman dan membaca artikel yang melucukan.Hidup ini indah....usah biarkan konflik diri menyelubunginya.


Cuba berbicara dengan pasangan atau teman akan segala yang terbuku di hati.Sedar sampai mana kemampuan anda dan terimalah hakikat itu.Akui bahawa tiada daya dan upaya selain dengan keizinan Allah.Kita hanyalah merancang tetapi Allah menentukan segalanya.

Fahamkan tujuan kehidupan ini.Bersyukurlah....betapa teruk nasib kita,ada yang lebih teruk.Ubahlah cara kita berfikir.Tanyalah pada diri,apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak perlu dilakukan.Jika menemui jalan buntu,banyakkan berzikir,tidak kira di mana...sedang memandu,berjalan,makan atau menonton tv.
Mudah-mudahan segala kecelaruan dan rasa yang menghimpit itu menjauh dari kita!


Wednesday, January 6, 2010

Utamakan KEPERLUAN anak-anak



Musim persekolahan telah kembali bermula.Pada awalnya,debaran itu tetap terasa kerana kita tidak pasti apa yang bakal dihadapi.Tapi kini...setelah melihat wajah pelajar-pelajar yang seperti anak sendiri,perasaan itu bertukar dengan satu semangat untuk membawa mereka ke mercu dan membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.Begitulah lembutnya hati seorang pendidik...kita sanggup berkorban untuk kejayaan mereka.
NAMUN.....

bagaimana pula peranan para ibubapa?Adakah mereka menjadikan perbelanjaan persekolahan anak-anak sebagai keutamaan di fikiran mereka?Berilah semangat dan sokongan kepada wawasan anak-anak dan memastikan proses pembelajaran mereka berjalan lancar.Untuk itu,seharusnya ibubapa telah merancang lebih awal untuk membeli peralatan dan buku latihan secukupnya.Baju sekolah baru tidak penting jika yang lama masih boleh digunakan.Tiga hari bersekolah,masih ada pelajar menulis di kertas kerana ibubapa tidak dapat menyediakan wang untuk membeli buku latihan!Kiranya kita dapati bahawa perbelanjaan persekolahan anak membebankan dan kita gelabah menghadapi realiti ini,maka jadikanlah ianya satu pengajaran untuk diri kita.

Bagi yang masih mempunyai anak-anak yang masih kecil,beringatlah dari sekarang.Siapkan tabungan dan plan insurans untuk mereka.Dulu saya beranggapan bila anak-anak telah meningkat dewasa,kuranglah perbelanjaan kerana tidak perlu lagi beli pampers dan bayar duit pengasuh .Tapi rupanya anggapan itu jauh meleset kerana perbelanjaan bertambah berlipat kali ganda apatah lagi jika mereka tinggal di asrama atau di universiti.Belum lagi diambilkira perbelanjaan untuk duit minyak berulang-alik menjenguk mereka!
Sebenarnya anak-anak akan merasa seronok belajar jika mereka dilengkapi dengan keperluan yang harus ada untuk belajar.Bagi anak-anak yang sering diingatkan guru untuk membeli buku dan membayar yuran dari masa kesemasa pastinya menimbulkan rasa rendah diri dalam jiwa mereka.

Anak-anak masa kini sudah pandai melihat sekeliling mereka.Justeru itu,buatlah yang terbaik untuk mereka.Jika mereka agak lemah,jangan sayang duit untuk hantar mereka belajar tambahan di pusat tusyen.Beri mereka peluang untuk mengejar cita-cita mereka pula!  



Walau apapun situasi kita,kasih dan sayang terhadap kebajikan anak-anak wajar diutamakan.NAMUN...jika diperhatikan,terutama anak-anak yang telah memasuki alam remaja,mereka telah mula menjauh dari ibubapa.Bayangkan pada hari pertama persekolahan,telah ada pelajar yang melanggar peraturan sekolah dengan rambut berfesyen,panjang,berdye,berkuku panjang dan berseluar ketat .Apa ibubapa tak nampak ke anak-anak mereka ni?Sepatutnya perkara sebegini tidak timbul jika ibubapa menegur anak mereka.Usaha guru pastinya melalui jalan yang lebih sukar tanpa sokongan dari ibubapa.Sepatutnya perkara seperti penampilan diri ini tidak perlulah diserah kepada guru di sekolah.Berapa banyak masa perlu dihabiskan oleh guru untuk menangani masalah seperti ini....belum lagi yang gian merokok dan sentiasa mencari lokasi baru untuk melepaskan gian!!
Ingatlah duhai ibubapa........

Anak adalah permata yang bernilai yang tidak dapat diperolehi semudah mengutip batu di tepi jalan.Agenda utama kita adalah generasi yang bakal terbentuk.Selagi anak-anak masih bersama kita, masih belum terlambat membetulkan keadaan.Jadikan tahun 2010 ini sebagai garis permulaan untuk bertindak!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails