Followers

Friday, December 31, 2010

Teruskan pendakianmu

31hb Disember 2010......hari terakhir untuk tahun ini.Pelbagai suka-duka yang telah kita harungi sepanjang  tahun 2010.Kini ambang 2011 menanti kita dengan cerita dan tanggungjawab yang pastinya bertambah mengikut usia dan kematangan kita.Tiada siapa boleh menafikan yang tanggungjawab kita semakin berat dari hari ke hari.Apatah lagi bagi para guru yang berhadapan dengan tugas yang lebih mencabar.Dasar 1 murid 1 sukan menjadikan guru bertambah sibuk selepas waktu P&P.Manual pengurusan sekolah menunjukkan bahawa guru perlu lebih sihat dan aktif untuk memastikan apa yang dirancang dapat dijalankan dengan baik.Sememangnya 2011 menanti kita dengan tugas yang semakin menggunung...Resam gunung yang tinggi memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk sampai ke puncaknya.Bersediakah kita untuk menghadapi semua itu?
Walau apa pun alasan,hidup perlu diteruskan.Tanggungjawab perlu digalas.Untuk hidup bahagia dan tenang,usah fikir tentang endingnya,tercapai atau tidak.Apa yang perlu adalah berani memulakan langkah pertama.Langkah seterusnya insyaAllah dibantu oleh Allah untuk melanjutkan perjalanan.
Allah maha Pengasih dan Penyayang.
Melakukan sesuatu usaha atau kebaikan adalah umpama mengusahakan percikan api untuk membuat unggun.Bila dah ada percikan api,dengan mudah api akan marak membakar kayu.Kita mula dengan percikan dan semuanya akan berjalan sendiri.Titik permulaan itu penting dan jangan bertangguh.
Ingatlah kita akan dipersoalkan di akhirat nanti akan segala tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu kita.TAPI bukan bermakna kita perlu menjadi orang lain untuk melaksanakannya.Jadilah diri sendiri.Dengan sentiasa melihat dan memperbaiki kelemahan pada diri,kita bakal merungkai kelemahan yang ada.
Apabila dikaitkan dengan perubahan,sebenarnya samaada kita sedar atau tidak,kita sentiasa mengalami perubahan.Antara perubahan sel yang berlaku dalam tubuh kita:
*sel kulit setiap 30 hari
*sel tulang rangka setiap 90 hari
*sel selaput perut setiap 5 hari
*sel hati dan limpa bertukar setiap 42 hari
Ternyata pada penghujung setiap tahun,hampir 98% sel telah berubah kepada yang baru.Perubahan yang berlaku membuktikan bahawa kita masih hidup.Justeru itu saudaraku...berubahlah untuk hidup.Tidak salah meletak azam jika ia membantu kita berubah.Jangan sekadar menulis azam baru di atas kertas dan kita tidak bersungguh untuk melaksanakannya!
Dalam keghairahan melakukan perubahan,marilah kita ikhlaskan niat,menadah tangan memanjatkan doa agar kita tidak tersasar dari laluan hidup sebenar.Semoga tahun 2011 membawa seribu kebahgiaan untuk anda!
Firman Allah taala yang bermaksud:
Wahai anak Adam,perbanyakkanlah bekalanmu kerana jalan yang bakal ditempuh itu amat jauh.Perbaharuilah tanggungjawab kepada Allah kerana lautan itu amat dalam.Telitilah sungguh-sungguh amalanmu kerana siratul mustaqim itu teramat halus.Ikhlaskanlah pekerjaanmu kerana pemerhati(Allah) itu sangat melihat.
(Petikan Hadis Qudsi ,Kitab Imam al-Ghazali)

Thursday, December 16, 2010

Mencari kesempurnaan

Solat adalah kewajipan yang difardukan ke atas setiap orang Islam dan merupakan tiang agama.Ia tidak disyariatkan melalui perantaraan malaikat,tapi Allah mewahyukan fardu solat terus kepada Rasulullah saw dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj.
Situasi pada masa kini menampakkan ramai umat Islam mengambil ringan tentang perkara solat.Cuba kita tengok kategori mereka ni:
1. Tidak mengerjakan solat kerana tak tau atau malas
2. Solat secara zahir saja.Bacaan pun tak betul,main ikut orang saja.
3. Orang yang solat,tahu ilmu tentang solat,tapi tak mampu lawan nafsu.Jadilah dia orang yang suka tinggal solat.
4. Solat 5 waktu tak tinggal,tapi fikiran melayang,tak khusyuk.
5. Dapat menjiwai solat malah dapat mempengaruhinya di luar solat.
Persoalannya kini,kita termasuk dalam golongan yang mana?Soal solat amat penting seperti sabda Rasulullah saw:
Perkara pertama yang ditanya kepada seorang hamba pada hari kiamat tentang amalannya ialah solatnya.Jika baik,dia telah berjaya dan maju.Jika rosak,dia telah celaka dan rugi.
Sabda Rasulullah saw:
Berapa banyak orang yang mendirikan solat,tetapi yang diperolehi hanya penat dan letih,kerana mereka itu lalai dalam solatnya.
Duhai saudaraku..
Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita.Jika solat yang dilakukan tidak dapat menyelamatkan kita dari kemungkaran,bermakna ada yang tak sempurna pada solat kita.Rasulullah saw telah mengingatkan kita:
Sesiapa yang memelihara solat,maka solat itu sebagai cahaya baginya,petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat,maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya,dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya.
Justeru itu...
salah satu cara mengembalikan masyarakat ke arah pembangunan rohaniah adalah melalui penekanan solat terutama di kalangan remaja kini yang terdedah dengan pelbagai gejala sosial.Para ibubapa hendaklah memastikan amalan solat ini dihayati oleh anak-anak.Begitu jua para pendidik dan pelbagai golongan dalam masyarakat.Ini bertepatan dengan firman Allah swt:
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar,dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar(kesan dan faedah) dan ingatlah Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(surah Al-Ankabut:45)
Pokok persoalan yang timbul adalah apabila penghayatan solat ini dipandang ringan oleh semua pihak yang bertanggungjawab.Maka lahirlah generasi yang gelap hatinya...tidak nampak cahaya untuk menerangi kehidupan.Lantas...bergelumanglah ia dengan pelbagai maksiat.
Sabda Rasulullah saw:
Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji,maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat.Dan,pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.
Justeru itu duhai saudaraku...
tiba masa untuk kita mengambil langkah memperbaiki solat kita.Dalam dunia cyber kini,pelbagai maklumat boleh kita perolehi di hujung jari kita.Jangan beri alasan tak tau..atau salah mak ayah tak ajar.Kita dah cukup dewasa untuk mencarinya sendiri.Kalau kita boleh ber chatting berjam-jam lamanya dalam sehari,apa salahnya kita peruntukkan sedikit masa setiap hari mencari maklumat untuk memperbaiki solat kita.
Kita perlu berusaha kerana solat memberi kesan kepada kehidupan kita.Semoga apa yang kita lakukan dipermudahkan oleh Allah.InsyaAllah...

Tuesday, December 14, 2010

Sudah sempurna ke kita bertudung?

Jalan-jalan ke blog teman-teman,ada satu isu menarik yang ingin ummi kongsikan.Gambar jelas menunjukkan bagaimana kaum wanita sudah ramai yang mula tersasar dari segi pemakaian tudung yang diwajibkan oleh Islam.Mungkin kita melakukannya kerana tidak tahu ia menjadi kesalahan.Justru itu,marilah kita sama-sama menghayati perkara ini agar apa yang kita lakukan tidak menambah dosa.
 Jauhi bertudung dengan menampakkan bentuk leher agar tidak menyerupai cara pemakaian tudung biarawati kristian.Mungkin kita tidak sedar bahawa ia menyerupai fesyen tudung ala biarawati kristian...Ummi percaya tak ada seorang pun terfikir nak ikut biarawati.tapi seeloknya kita menjauhi dari fesyen begini. Marilah kita sama-sama kembali kepada cara bertudung mengikut Islam

Sabda Rasulullah saw:
Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum,maka ia termasuk dari golongan mereka.
(Riwayat Abu Daud,disahihkan oleh Ibn Hibban)
Pada masa kini ramai wanita suka memakai tudung yang dibutang/di pin di belakang sehingga menampakkan bentuk leher di hadapan..Jadi gayanya tak ubah seperti birawati kristian juga.Setelah kita tahu,jauhilah dari memakai sebegini…
Renungkanlah hadis dan firman dibawah:
“…Dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada…” 
[An-Nur:31]
 Sabda Rasulullah saw:
“Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka( isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (nipis & ketat).
Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”
(Hadith Riwayat Ahmad, jil.2, ms. 223).
Gambar-gambar di bawah,boleh dijadikan panduan apa yang tidak sepatutnya kita lakukan.

Islam telah menggariskan secara jelas bagaimana menutup aurat yang diwajibkan ke atas kaum wanita.Justeru itu,tidak perlu dibahaskan atau dipertikaikan samaada sesuatu fesyen itu boleh dipakai atau tidak.Apapun fesyen yang diingini asal tidak menyalahi apa yang disyariatkan,pakailah.Islam itu indah untuk dihayati.Semoga usaha kita untuk berubah mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Mari kita perluaskan banner di bawah:

Monday, December 13, 2010

Kantoi....

Kisah yang terjadi di Kota Amman,Jordan ini mungkin agak menarik untuk dikongsikan.Seorang pemuda bernama Bakr Melhem hidup berjauhan dari isterinya.Sudah pasti malamnya dihantui kedinginan,siang dibaluti kesepian.Lalu bermulalah episod baru dalam hidupnya apabila berkawan dengan wanita lain dalam dunia maya di internet.
Setelah 3 bulan saling berchatting,mereka benar-benar merasa secocok dan telah jatuh cinta.Lantas mereka berjanji untuk bertemu di suatu tempat.Namun....saat mereka bertemu,alangkah terkejutnya diri... Ternyata wanita tersebut adalah isterinya sendiri!
Lantas mereka saling tuduh-menuduh yang ia pasangan yang tidak setia.Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bercerai kerana masing-masing tidak setia!Begitulah antara kisah yang berlaku di dunia cyber.Jika disalahguna,boleh membawa kepada kemusnahan.Sedangkan dalam sesebuah rumahtangga kesetiaan itu adalah umpama permata yang perlu dijaga.  
Biasanya orang tidak setia kerana merasakan ada kekurangan pada pasangan masing-masing,umpama merasakan rumput di rumah jiran tampak lebih hijau dari di halaman sendiri.Tertipu atau terpedaya dengan pandangan ini menyebabkan mereka mengorbankan kesetiaan yang ada,sedangkan hakikatnya tidak seperti itu.
Tidak dinafikan,semakin lama kita bersama pasangan,semakin banyak yang terdedah samaada kelebihan atau kekurangan.Justru di saat kita melihat kekurangan pun,tugas kitalah untuk membantunya memperbaikinya atau menjadi pelengkap baginya.Ingatlah..tiada manusia yang sempurna.
Kepada pasangan yang telah atau akan berkahwin.....
Jika ditakdirkan pasangan kita itu baik,bersyukurlah.Jika tidak seperti diharapkan,anggaplah ia sebagai satu ujian dari Allah.Redhalah dengan apa yang telah Allah aturkan.Ingatlah bahawa setiap yang terjadi itu ada hikmahnya.Manusia boleh berubah mengikut peredaran masa.Apa yang penting,sandarkanlah segala pengharapan kepada Allah.Semoga liku-liku kehidupan yang dilalui diwarnai bunga-bunga kebahagiaan..

Saturday, December 11, 2010

Sudah tua ke dunia?

Daripada Abu Dzar r.a berkata,bahawa Rasulullah saw bersabda:
Apabila zaman(kiamat) semakin hampir,mendidik anjing lebih baik daripada mendidik anak,tidak ada rasa hormat kepada yang lebih tua dan tidak ada rasa kasih sayang kepada yang lebih kecil,anak-anak zina semakin ramai,sehingga laki-laki menyentap perempuan di jalanan.Mereka tidak ubahnya seperti kambing yang berhati serigala.
Riwayat Thabrani dan Hakimi
Gejala sosial yang menjadi-jadi..kepayahan mendidik anak masa kini membuat kita terfikir kembali bahawa usia dunia semakin uzur.Tanda-tanda yang dinyatakan oleh Rasulullah saw tidak dapat dinafikan telah berlaku disekeliling kita.Lihat kepada gambar yang diambil dari hotmalays.blogspot.com

Manusia telah hilang rasa malu dengan melakukan perkara tak senonoh di tempat terbuka.Rakaman ini diambil oleh rakan mereka dari dalam rumah.Belum lagi bayi terbuang semakin meningkat jumlahnya sehingga Malaysia menubuhkan Orphan Care untuk tempat ibu-ibu meletakkan bayi yang tidak diingini.Apa nak jadi ni...Situasi sebegini tentunya membimbangkan kita kerana golongan remaja adalah bakal pewaris negara.
Orientasi pendidikan yang diterima samaada di rumah,sekolah,masyarakat dan sistem pemerintahan bakal membentuk imej watak dan tingkahlaku remaja.Keciciran dalam pembangunan jiwa dan hati menyebabkan mereka sukar dilentur apabila usia semakin meningkat.Lalu......adakah krisis jatidiri yang amat kritikal yang melanda remaja kini akibat ketidakmampuan kita atau kealpaan pihak tertentu terhadap peranan yang perlu dimainkan oleh mereka ?
Dalam hal ini,kita tidak perlu menuding jari.Semua pihak harus menjalankan tanggungjawab masing-masing.Misalnya,kalau di rumah ibubapa harus main peranan.Di sekolah tanggungjawab para pendidik.Di kampung,ketua kampung,JKK,penghulu dsbnya.Di peringkat negara,PM dan menteri kabinetnya.
TAPI...masalahnya tanggungjawab ini tidak dijalankan mengikut kehendak Islam.Apa nak dikata kalau ibubapa sendiri mengajak anak menonton video lucah.Guru sendiri merogol anak murid.
Pemimpin pula melakukan maksiat di balik tabir....
Dalam dunia serba moden ini,manusia lebih mementingkan prestij dan kemewahan yang menjurus mereka menjadi individualistik dan materialistik.Masing-masing memikirkan diri sendiri tanpa menyedari bahawa apa jua yang dilakukan akan menjejaskan ahli masyarakat yang lain.
Menurut kajian,golongan remaja banyak belajar dari persekitaran sosial yang mana ia membesar.
Tidak dinafikan pada peringkat ini mereka mengalami perubahan yang amat pesat dan jika tidak diberi perhatian akan menjerumuskan mereka ke arah yang salah.
Menurut Islam mencegah itu lebih baik dari mengubati.Usaha menyuburkan diri remaja bagi menghadapi zaman dewasa yang mencabar adalah amat sulit dan berliku.Kekuatan diri,ilmu dan akhlak yang baik bakal menjadi benteng diri dari terlibat dengan gejala yang negatif.Sampai bila kita harus mendiamkan diri dan melihat keadaan semakin parah?
Ayuh wahai saudaraku...
lakukan sesuatu yang termampu oleh kita,tidak kira samaada anda pelajar,ibubapa,guru,pemimpin dsbnya.Setiap laluan hidup ini kita diberi tanggungjawab yang bakal dipersoalkan oleh Allah diakhirat kelak.Persoalan 'adakah kita boleh mengubah keadaan' tidak perlu diutarakan kerana itu adalah kerja Allah swt.
Firman Allah swt:
Demi masa .Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian,kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dalam kebenaran dan nasihat-menasihati dalam kesabaran.
(Surah Al-asr:1-3)

Wednesday, December 8, 2010

Tak boleh hidup tanpanya...

Facebook sudah tidak asing lagi di alam maya ini.Bahkan budak kecik yang dah tau membaca pun mula berfacebook.Kalau selama ni ramai generasi veteran merangkak dalam dunia IT,tapi disebabkan gelombang facebook ini,keadaan mula berubah.Ia seolah-olah satu kemestian untuk dimiliki oleh semua orang.Salahkah kita berfacebook?
Kita mungkin pernah mendengar sebelum ini ada golongan yang menganggap facebook haram.Tapi setelah diperhalusi oleh yang selayaknya,ia dianggap harus selagi tidak digunakan untuk perkara-perkara yang menyalahi syara'.Beberapa etika dalam berfacebook harus diberi perhatian agar tidak memberi kesan negatif kepada jiwa dan nilai diri kita.
Memang seronok berjumpa semula dengan teman-teman lama yang terputus hubungan.Seronok dapat melihat perkembangan teman-teman tentang kerjaya,keluarga,aktiviti semasa dsb.Gambar-gambar yang diupload juga dapat dijadikan tatapan.Sememangnya tidak salah untuk menjalin semula ukhuwah yang terputus.
Namun perkara yang harus diingat di sini ialah apabila gambar-gambar yang dipaparkan mengundang fitnah bila dilihat oleh golongan yang tidak sepatutnya.Aksi biasa pada kita tapi tidak pada orang lain. JUSTERU itu...pastikan foto yang diupload tidak dikategorikan sebagai aksi yang keterlaluan.Bagi wanita terutamanya,tutuplah aurat tu.Jauhi aksi manja kerana ia boleh menggoncang jiwa orang yang berpenyakit hati.
Selain dari itu,tagging gambar lama agar dapat disebarkan pada kawan-kawan juga boleh mengundang dosa.Mungkin sebahagian individu dalam gambar tersebut kini telah menutup aurat.Bukan menjadi hak kita untuk membuka auratnya semula.JADI.....berhati-hatilah dengan tindakan kita.Kalau boleh,pilih button 'friend only' supaya orang yang tidak kita  kenali tidak dapat melihat kita.
Begitu juga jangan jadikan facebook satu platform untuk mengumpat dan mendedahkan keaiban orang lain.Tidak dinafikan bahawa kaum wanita gemar meluahkan perasaan dan berkongsi dengan orang lain.Kadangkala mereka tidak menyebut nama tertentu tapi orang lain boleh tahu siapa yang dimaksudkan!Jika seseorang mengalami masalah rumahtangga pun,kita boleh buat tafsiran berdasarkan apa yang diperkatakan...sedang rahsia rumahtangga tidak boleh didedahkan kepada semua orang.

Kesimpulannya,facebook boleh menjadi sumber pahala dan boleh juga menjadi pengumpul dosa.Niat mendekatkan ukhuwah jangan disalahguna kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada masyarakat dan rumahtangga.Bahkan dapat menjauhkan kita dari Allah.Harus diingat bahawa ukhuwah hanya terhad kepada sesuatu yang membawa kepada Allah,mengajak kebaikan dan menjauhi kemungkaran.
Sebenarnya,apa yang dicatat adalah juga untuk peringatan diri sendiri kerana ummi sendiri tidak terlepas dari mengikuti gelombang ini.Sama-samalah kita baiki diri agar keredhaan Allah mengiringi kita sepanjang perjalanan hidup ini...
Wallahualam

Monday, December 6, 2010

Salam ma'al hijrah

Dengan ketibaan bulan Muharram yang mulia,dan sekaligus hadirnya tahun baru Hijrah 1432,rupanya usia kita juga semakin meningkat.Peristiwa hijrah Rasulullah saw ditandakan sebagai permulaan kiraan kalendar Islam.
Bersyukurlah kepada Allah kerana telah dipanjangkan usia sehingga kita dapat melangkah ke tahun baru.Umur yang panjang bukan bermakna kita boleh melakukan apa yang kita suka.Allah memberi peluang untuk kita terus berusaha menambah amalan dan memperbaiki diri.
Sabda Rasulullah saw:
Sebaik-baik manusia itu ialah mereka yang panjang umurnya dan baik pula amalannya,dan sejahat--jahat manusia ialah mereka yang panjang umurnya dan buruk pula amalannya.
Sekiranya amalan hijrah ini amat bermakna di sisi Allah,marilah kita sama-sama hijrahkan sikap-sikap lama yang negatif,yang buruk,yang bersalahan dengan akhlak Islam,yang bertentangan dengan ajaran AlQur'an dan Sunnah.Masa yang berlalu...muhasabah diri dengan seribu keinsafan.Pengalaman yang ditempuhi jadikan panduan untuk meniti hari-hari yang mendatang.Semoga tahun 1432H membawa seribu rahmat untuk kita.
Sabda Rasulullah saw:
Orang yang benar-benar berhijrah itu ialah orang yang berhijrah(meninggalkan)segala larangan Allah swt.
Walaupun kita menyambut tahun baru Hijrah,amalan berhijrah itu perlu berterusan setiap hari.Banyak yang belum kita hijrahkan walaupun sudah berpuluh kali kita menyambutnya.Ke mana sebenarnya haluan hijrah kita?
Firman Allah swt:
Katakanlah: sesungguhnya solatku,ibadahku,hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah,Tuhan semesta alam.
(surah Al-An'am:162)
Bayangkan jika kita mempunyai visi dan misi yang sama,sudah pasti syiar Islam kembali gemilang.
Jika ingin negara Islam bersatu-padu,harus ada langkah berhijrah dalam keluarga kita sendiri,masyarakat.TAPI perhatikan apa yang terjadi di sekeliling kita sekarang ni samaada dari segi akhlak,cara hidup,amalan dan sebagainya.Banyak yang belum dihijrahkan lagi rupanya.Keadaan kini semakin parah dan meruncing kesan dari tiada kesedaran dalam diri individu yang menyebabkan keruntuhan dalam institusi kekeluargaan itu sendiri.
Sempena tahun baru hijrah ini...marilah kita sama-sama menjadikan amalan hijrah ini sebagai agenda utama ke arah kehidupan muslim yang sejati.Sampai bila kita harus melihat dan tenggelam dalam situasi yang melalaikan ini?
Harus diingat bahawa segala perlakuan dan perbuatan kita sepanjang 1431H telah dicatat oleh Raqib dan Atid dan akan disimpan kemas sebelum dibawa ke mahkamah di Mahsyar nanti.Maka kita iringilah pemergiannya dengan istighfar dan taubat.Semoga Allah belas kasihan dengan kita dan memadamkan segala kesalahan dan kesilapan yang telah kita lakukan.



Esok kita akan melangkah ke tahun baru hijrah. Saya kongsikan Doa Akhir tahun untuk di baca petang ini (Isnin 6 Disember 2010 ). Semoga semua dosa kita di ampunkan oleh-Nya. Dan semoga kita menjadi insan lebih bertakwa
doa-akhir-tahun
Add caption
Doa Akhir Tahun. Dibaca 3 kali pada penghujung waktu Asar, sebelum masuk waktu Maghrib.




doa-awal-tahun
Add caption
Doa Awal Tahun. Dibaca sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails