Followers

Thursday, December 31, 2009

Berusahalah Selagi TERDAYA


Biasanya apabila kita memperkatakan tentang kejayaan seseorang,kita akan merujuk kepada kepandaian atau kecerdikannya.Dengan keputusan UPSR dan PMR baru-baru ini,kita merasa bangga dengan anak dan pelajar-pelajar yang cemerlang.TETAPI berapa ramai dari kita melihat mereka yang rajin berusaha,walaupun mereka tidak mencapai tahap yang diharapkan?Sememangnya kita jarang melihat kepada karektor yang membawa kepada kejayaan tersebut.


Ingatlah duhai teman...
Anak-anak dan pelajar kita tidak lahir dengan tahap IQ yang sama.Itu sebabnya lahir istilah anak genius,cerdik,pandai,
pintar dan sebagainya.Mengikut kajian,kecerdikan mereka boleh dipengaruhi oleh faktor keturunan,makanan,cara didikan dan persekitaran.
Tidak hairanlah jika dalam realiti,para guru terpaksa menghadapi pelajar yang pelbagai tahap kecerdasan.
Justeru itu...


Sedarkan anak-anak dan para pelajar bahawa kecerdikan itu bukanlah suatu yang perlu dipertikai dan difikirkan.TETAPI USAHA itu lebih penting!Sememangnya kecerdikan itu membantu untuk mencapai kejayaan tetapi ia bukanlah terletak dalam kuasa manusia menentukannya.Tekankan konsep USAHA dalam diri anak-anak dan pelajar.
Jika dilihat senario di sekolah,ada pelajar yang bijak kurang memberi tumpuan kerana merasakan mereka telah pandai.Begitu jua di beberapa sekolah berasrama penuh yang tidak mencatat keputusan yang memuaskan.
Sangkaan ini menyebabkan mereka tidak dapat meningkatkan potensi dirinya ke tahap yang diharapkan.
Kisah yang berlaku kepada pelajar genius,Sufiah bt Yusof diharap dapat kita jadikan iktibar.Walaupun pada usia 13 tahun dia telah berjaya memasuki Universiti Oxford,kesudahannya kini menjadi pelacur yang terhormat!

 Begitu juga jika kita melihat kepada pengasas KFC,Kolonel Sanders,beliau berusaha 9,999 kali barulah resipinya diterima oleh sebuah restoran untuk dikomersialkan.Albert Einstein juga pernah gagal dalam peperiksaan.Taukeh Honda,
Mendiang Boon Siew khabarnya tidak tahu membaca dan menulis tetapi dia bangkit dari kelemahannya dan tidak mahu mengaku kalah.
Kisah Nabi Muhammad saw yang tidak mengenal putus-asa dalam seribu satu macam kepayahan dalam menyampaikan risalah Allah boleh jua diambil pengajaran.Adakala darah mengalir dari kulit Nabi Muhammad saw akibat balingan batu tidak mematikan usahanya untuk terus berjuang.
Justeru itu wahai teman.....

sebelum kita persoalkan tentang kejayaan,kata hikmah yang perlu disematkan di jiwa anak dan para pelajar ialah USAHA.
Kita tidak dilahirkan terus berjaya.Kita juga tidak dilahirkan terus gagal,derita,kecewa TETAPI kita mempunyai potensi untuk kedua-duanya.
Rancanglah,atur strategi,berusaha dan bertawakkal.....agar anak-anak tidak berakhir menunggu buah yang tak jatuh-jatuh!
Tumbuhan yang melata di hutan rimba pun terpaksa berusaha mendapatkan air,dan cahaya matahari dan tidak menanti manusia untuk menyiramnya.
Sentiasa ingatkan anak-anak untuk meletakkan USAHA sebagai cara dalam melakukan sesuatu.

Jangan hukum anak-anak dan para pelajar kerana mereka kurang menyerlah.TETAPI tegur mereka jika MALAS berusaha.Pepatah ada menyatakan'belakang parang kalau diasah lagikan tajam'.Bersama-samalah memberi semangat dan sokongan kepada mereka dan bukan membezakan mereka kerana kekurangan mereka!



Wednesday, December 30, 2009

Cemerlang DENGAN Konsisten


Terhimpit dengan beban tugas yang harus dipikul,kadangkala diri ini rasa bersalah pada teman-teman justeru tidak dapat update blog sekerap yang diharapkan.Begitulah rutin kehidupan insan.....
Apapun situasi yang dihadapi,diri ini mengharapkan agar dapat konsisten dalam apa jua yang dilakukan.
 Konsisten dalam Bahasa Arab bermaksud istiqamah.
Mengikut pendapat sahabat Omar bin Khattab,'Istiqamah ialah suatu keadaan di mana kamu mengikut perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh agama secara berterusan dan tidak berdolak-dalik serta ke sana ke mari seperti musang.'
Jika dilihat kepada persekitaran kita kini,salah satu punca pendidikan kita gagal melahirkan insan cemerlang adalah kerana kegagalan PENDIDIK untuk konsisten dengan nilai-nilai murni yang diterapkan
HARUS DIINGAT bahawa pendidik bukan hanya merujuk kepada guru sahaja,tetapi ibubapa,masyarakat,pihak pemerintah juga adalah termasuk golongan ini.


Contohnya,para pemimpin sering menyarankan remaja mengamalkan cara hidup yang baik dan berbudi-bahasa.
Sebaliknya di kaca TV para artis yang rendah akhlaknya ditonjolkan,hiburan diutamakan,filem-filem tidak bermoral dijadikan tontonan  dan para ilmuwan ditonjolkan hanya sebagai selingan.


Begitu jua dalam institusi keluarga.Si ayah mengajar anak untuk tidak merokok tetapi dia sendiri merokok!Ibu bapa mengajar anak supaya jangan berbohong,tetapi mereka sendiri melakukan perbuatan itu sewenang-wenangnya.
Di manakah NILAI PERKATAAN KONSISTEN itu?
Memang tidak dinafikan bahwa syaitan sering mencari peluang agar manusia gagal menjadi konsisten.Untuk cemerlang,kita harus sanggup konsisten di atas kebaikan.Justeru itu,lebih baik amal sedikit tetapi berterusan daripada banyak tetapi tidak berkekalan.Sabda Rasulullah saw:
'Sebaik-baik agama adalah yang berterusan.'
Jadikanlah kisah Barsisa di bawah ini sebagai renungan.Barsisa adalah ahli ibadah terkenal pada zaman Bani Israel.Untuk menyesatkannya,iblis telah mengutus syaitan yang menyamar sebagai ahli ibadah untuk mendampinginya.
Kesungguhan syaitan ini amat mengagumkan Barsisa dan syaitan itu mengajarkan Barsisa satu doa yang dapat menyembuhkan penyakit.Sejak hari itu Barsisa menjadi terkenal kerana boleh mengubatkan pelbagai jenis penyakit.

Hinggalah pada suatu hari,syaitan telah merasuk seorang wanita yang amat jelita dan akhirnya terpaksa dirawat oleh Barsisa.Beliau terpegun melihat kejelitaan wanita itu dan ketika itulah syaitan memujuk Barsisa untuk melakukan zina.Beliau akhirnya melakukan zina dan wanita itu mengandung.Begitulah kuasa Tuhan...yang haram tu cepat je lekat,kalau yang halal tu kadangkala jenuh nak dapat zuriat!
Syaitan kemudian datang menemui Barsisa dan berkata,
'Celaka kamu.Jika dibiarkan,kamu akan mendapat malu.Aku cadangkan kamu bunuh aje wanita itu.Jika keluarganya bertanya tentangnya,katakan syaitan telah merasuknya dan telah melarikan diri.'

Wanita itu pun dibunuh oleh Barsisa.Syaitan begitu gembira dan mencadangkan mayat itu ditanam di tepi bukit.Syaitan terus memainkan peranan dengan menjelmakan dirinya dalam mimpi saudara-saudara wanita tersebut dan menceritakan kisah Barsisa dan menunjukkan di mana mayat itu ditanam.Akhirnya mayat wanita itu ditemui dan Barsisa didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh.
Sebelum menjalani hukuman,syaitan datang sekali lagi dan berkata,'Aku adalah ahli ibadah yang mendampingimu sebelum ini.Perbuatanmu amat terkutuk dan kamu tidak dapat menyelamatkan diri melainkan jika kamu mematuhi arahanku yang terakhir iaitu sujud kepadaku.'Barsisa pun terus sujud kepada syaitan dan matilah dia dalam kekufuran.
Untuk kekal konsisten,bukanlah semudah melafaz kata,apatah lagi syaitan sentiasa mengintai peluang.Sempena tahun baru ini,marilah kita sama-sama kita berusaha untuk konsisten terutama yang melibatkan amalan fardu.


Di samping itu juga,beri ruang pada diri untuk menilai semula apa yang dilakukan sepanjang tahun 2009.Cetuskan pelbagai pencapaian,kegagalan ,kesilapan dan kekurangan.Kita tidak akan ke mana-mana jika diri masih dibaluti kelemahan dan kesilapan.Itu sebabnya kadangkala kita bertanya pada diri sendiri kenapa tiada perubahan yang berlaku tahun demi tahun.Diri masih berat melakukan kebaikan,solat masih di akhir waktu.tiada rasa kemanisan beribadat.Rupanya kita lemas dalam kelemahan yang tidak pernah kita cuba rungkaikan!

Langkah seterusnya ialah dengan memerhati ruang masa dan tindakan yang boleh diambil.Bagaimana pencapaian gemilang dapat diraih,buat perancangan dan fokus!Harus diingat...
apapun perancangan kita,mestilah selari dengan keredhaan Allah agar kita tidak tersesat di belantara kehidupan.
Apa yang paling penting selepas itu adalah kesungguhan kita dan sikap konsisten dalam melaksanakan yang dirancang. 


Saturday, December 26, 2009

Mencari JALAN Pulang


 Berjalan-jalan mengisi masa cuti bersama keluarga,diri ini dapat menyaksikan berbagai ragam manusia.Jelas tergambar di sana-sini bahawa insan mudah lupa dan alpa dalam keseronokan yang dirasai.Di tempat membeli-belah,manusia menghabiskan masa dan wang tanpa melihat dunia di sebelah sana.TETAPI apabila masuk waktu solat,surau di situ tetap lengang.Begitu jua di tempat -tempat lain yang menjadi tumpuan manusia.Kadangkala keadaan ini melemaskan diri ini.....apatah lagi melihat ajaran agama yang diketepikan seolah-olah ianya perkara remeh dalam kehidupan mereka.

Hati siapa yang tidak sedih melihat ibu-ibu yang membiarkan anak-anak mereka berpakaian seksi,ketat,tidak menutup aurat,rambut berdye,sedangkan ibu-ibu bertudung litup.Apakah mereka mengira bahawa anak-anak bukan tanggungan mereka?Ada pula ibu-ibu mengambil kesempatan memakai baju T-shirt berlengan pendek apabila berkelah atau bersantai.Apakah makna semua itu?Adakah mereka melakukannya kerana kejahilan atau mengikut trend semasa? 

Begitu jua remaja tidak segan silu lepak,berpacaran dan berbual seolah dunia ini milik mereka berdua.Tidak dapat diri ini bayangkan bagaimana  anak-anak ini membesar dalam dunia yang sedemikian.
Apa yang disentuh di sini adalah perkara tipikal yang berlaku dalam masyarakat.Usah dibayangkan ibubapa yang masih berjinak dengan pub dan disko serta anak-anak yang mengamalkan kehidupan secara bebas.
Ingatlah duhai ibubapa...
pembentukan keluarga amat penting sejak dari awal lagi.Memang manusia tidak dapat memilih siapa yang patut jadi ibubapanya,
tetapi manusia masih ada ruang dan peluang untuk memilih pasangan hidup masing-masing.

Justeru pemilihan bakal pasangan hidup adalah kritikal sebenarnya.Jika tersilap pilih kerana mengikut runtunan emosi semata-mata sehingga melupakan pertimbangan akal dan syarak pastinya boleh membawa padah.
Pasangan kita adalah ibarat 'broadband' yang menghubungkan talian taat dan cinta kepada Allah swt.Jika talian terputus,maka kita pastinya semakin jauh dari Allah.Pilihlah orang yang kuat pegangan dan tinggi kefahaman hidup beragama.Namun ambil kira jua soal kufu,keturunan,paras rupa dan harta.Itulah antara nasihat Rasulullah saw untuk memilih calon pasangan.

Andaikata kita telah terlajak memilih......masih ada ruang dan waktu untuk berusaha memperbaiki keadaan dan mengubah situasi.Pintu doa dan taubat sentiasa terbuka selagi nyawa belum sampai ke halkum.Usaha perubahan boleh dilakukan dengan belajar dan muhasabah diri bagi mengenalpasti kesilapan diri.Bermujahadahlah,berazamlah.....apatah lagi kita baru melangkah ke awal tahun 1431H.Gunakan saluran yang ada untuk mendapatkan ilmu.Dalam dunia kini yang sudah tidak punya sempadan lagi,segalanya ada di hujung jari,kawalan juga dalam kuasa jari jemari.Mintalah nasihat dan pimpinan dari orang yang layak dalam bidangnya.
Ingatlah duhai saudaraku...

Bukan usaha dan amal jadi nilaian untuk berjaya dalam sesuatu perkara.Kunci keberhasilan adalah terletak di tangan Allah swt.Hidayah dan petunjuk datangnya dari Allah.Justeru itu,jangan lupa memohon bantuan dariNya jua.Selagi ada harapan.di situ ada peluang kerana keredhaan Allah itu amat luas.Mohonlah,memintalah agar dipermudahkan dalam segala usaha menuju ke syurgaNya.
Firman Allah swt:
'Dan kepada mereka yang benar berjihad untuk(mencari keredhaan) Kami,benar-benar akan Kami tunjukkan jalan -jalan Kami(petunjuk).Sesungguhnya Allah benar-benar bersama dengan orang yang berbuat baik.'
(Surah Al-ankabut:69)
Doa berikut amat menyentuh hati dan ingin diri ini kongsikan bersama di sini.Doa ini merupakan doa yang dibaca oleh Umar bin Khattab semasa beliau tawaf selepas beliau memeluk Islam.

'Ya Allah,sekiranya engkau mentakdirkan aku tergolong dalam golongan orang-orang bahagia,tetapkan aku dalam keadaan aku.Sebaliknya,apabila engkau tetapkan aku dalam golongan yang celaka dan berdosa,hapuskanlah takdir itu dan masukkan aku ke dalam golongan yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.'
Bersama keredhaan Allah itu ada jalan pulang yang dicari-cari!Marilah kita merintis jalan pulang tersebut bersama-sama. 

Monday, December 21, 2009

Kita DAPAT apa yang kita BERI


 Anak-anak adalah permata yang bernilai bagi pasangan suami isteri.Dengan rahmat Allah,ibubapa turut mendapat pahala atas kebaikan dan amal yang dilakukan oleh anak,
walaupun ada yang tidak sempat melihat anaknya tumbuh membesar.

Kita tidak pernah mendengar ibubapa yang mengajar anaknya berbuat jahat.Kalau ada pun,hanya kes-kes terpencil sahaja!TETAPI ibubapa yang tidak bersungguh-sungguh menegah anak-anak melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum Allah atau menyuruh anak melakukan suruhan Allah,itu biasa berlaku.Apatah lagi apabila anak telah meningkat remaja.
Satu perkara yang amat jelas adalah bukan senang hendak meninggalkan aset yang berharga.Harus diingat tanggungjawab ibubapa terhadap anak adalah wajib ditanggung di dunia dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Duhai ibubapa....

Ingatlah bahawa nakal bagaimanapun anak kita,merekalah sandaran kita di akhirat kelak.Untuk menyediakan anak yang sentiasa ingat dan mendoakan kita apabila kita telah meninggal dunia pastinya melalui proses pendidikan yang panjang dan berterusan.
Inilah pelaburan besar yang tidak boleh kita sia-siakan!
 Sabda Rasulullah saw:
'Apabila mati seorang manusia,putuslah amalnya,kecuali 3 macam; sedekah jariah,ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan baginya.'


Pendidikan yang menjurus kepada pembentukan peribadi muslim hendaklah menjadi agenda utama dan jangan dipandang remeh.Ini amat penting bagi menjamin mereka memahami tanggungjawab mereka dan membina jatidiri yang tidak goyah oleh cabaran luar.Adalah tidak wajar jika kita beranggapan bahawa sudah mencukupi jika kita memberi makanan,pakaian,perlindungan dan pendidikan semata-mata.

Jika kita tertinggal anak di supermarket,mungkin kita boleh patah balik dan ambil semula.TETAPI jika anak-anak TERCICIR DARI TARBIAH ISLAM,ketika kita telah berada dipuncak,meraih pangkat dan memanjat tangga kerjaya,adakah mungkin ada jalan pulang?Bila tersedar,anak-anak telah jauh ketinggalan.
Justeru itu duhai ibubapa....
Walaupun kita berkerjaya,jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak selama ini.Berapa banyak masa kita luangkan untuk mereka.....Walau sesibuk mana kita dengan urusan kehidupan,jangan jadikan anak-anak korban keadaan.Kita telah hidup sehingga hari ini,berilah peluang untuk anak-anak pula mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat.
Imam Ghazali mengumpamakan mendidik anak seperti seorang petani yang tekun mencabut duri dan membuang musuh tanaman dari menganggu tumbesaran tumbuhan yang ditanamnya.

Imam Ghazali selanjutnya menyatakan  anak adalah amanah Allah bagi orangtuanya.Hati anak kecil dilahirkan suci,bersih dan telus(lutsinar) serta kosong dari segala ukiran dan gambaran.Anak akan selalu menerima segala apa yang diukir pada hatinya, dan akan cenderung terhadap apa yang mempengaruhinya.Jika dibiasakan dengan kebaikan,nescaya akan seperti itulah anak terbentuk.


Namun,jika anak dibiasakan untuk melakukan kejahatan dan dibiarkan bagaikan binatang liar,maka sengsara dan celakalah dia.Dosanya akan ditanggung langsung oleh kedua orangtuanya sebagai penanggungjawab atas amanah Allah.

Dimana-manapun kini,samaada di bandar atau di luar bandar,fenomena ibu keluar bekerja nampak jelas.Kalau di kampung,seawal pukul 4 pagi,akan kedengaran deruman bas yang mengambil para ibu untuk bekerja di kilang-kilang.Hakikatnya,siapa yang mengawasi anak mereka selepas waktu persekolahan?Apatah lagi anak-anak yang meningkat remaja.......banyak aktiviti yang ingin mereka redahi.
Kita mengharapkan anak-anak tidak terumbang-ambing masa depannya tanpa arah tujuan yang betul.
Sampai bila-bila pun tuntutan tanggungjawab ini terus berjalan,hatta setelah anak tidak lagi berada di bawah tanggungan ibubapa.Dalam tradisi para nabi,rasa tanggungjawab terhadap anak-anak telah mendorong mereka untuk terus ambil tahu kehidupan anak yang sudah berumahtangga.
Contohnya,Ketika Siti Fatimah telah berkahwin,Rasulullah saw masih mendekati anaknya dan mendengar luahan hatinya.Apabila Siti Fatimah mengadu kepayahan mengurus rumahtangga,baginda memberikan kata-kata perangsang dan mengajarkan zikir yang boleh meringankan jiwa.


Anugerah yang datang dari Allah akan kembali kepada Allah.Setelah amanah yang diberi diurus dan diselenggara,
diharapkan kita tidak akan dipersoalkan di akhirat kelak di atas kecuaian kita.
Semoga kaki kita tidak tersangkut di mana-mana!

Sunday, December 20, 2009

Semarakkan kasih Sayang


Dalam kehidupan bersuami isteri,berbagai cara yang dilakukan oleh pasangan masing-masing untuk mengekalkan keharmonian mahligai yang dibina.Setiap insan yang berpasangan pastinya mempunyai pengharapan agar pelayaran dapat diteruskan bersama-sama sehingga ke akhir pelayaran.Di sini ingin saya kongsikan beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk mewujudkan kasih sayang antara suami isteri.
pertama
Membaca surah Ali Imran ayat 31
Firman Allah swt:

'Katakanlah(wahai Muhammad),jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku,nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.Dan ingatlah,Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Ayat ini juga boleh dibaca bagi guru-guru sebelum masuk ke kelas dengan tujuan anak-anak murid kita nampak kita dengan penuh kasih sayang dan memudahkan kita mengawal kelas.

kedua
Membaca surah Al-Hasyr ayat 21 atau surah asy-Syura ayat 19

Firman Allah swt:
'Sekiranya kami turunkan AlQur'an ini ke atas sebuah gunung,nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah.Dan ingatlah misal-misal perbandingan ini.Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.'
Ayat ini juga boleh dibaca untuk melembutkan hati anak dan suami.

ketiga
mengamalkan surah Yusuf ayat 4
Firman Allah swt:

'Ingatlah peristiwa tatkala tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya:'Wahai ayahku!Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan;aku melihat mereka memberi hormat kepadaku.'
Ayat ini juga boleh dibaca sebelum menghadapi orang yang digeruni seperti menghadiri temuduga.

keempat
Mengamalkan membaca surah Thoha ayat 1 - 5

Baca dan tiupkan di ubun-ubun anak dan suami/isteri ketika mereka tidur.Bagi ibubapa yang mati akal dan tidak tahu bagaimana mengawal anak yang degil dan tidak menurut kata,cubalah amalkan,
insyaAllah,dengan izin Allah,Bagi kaum wanita,elok dibacakan pada AIR MINUMAN dan ketika MEMBASUH BERAS.
Surah ini bukan sekadar dapat melembutkan hati,tetapi boleh memberi kesan kepada hal lain.Misalnya ketika berhadapan dengan orang yang berdolak-dalih untuk membayar hutang.
Ingatlah duhai isteri....

Cinta ibarat pohon yang perlu dibaja dan disiram agar merimbun dengan subur.Jangan biarkan cinta mati baru anda terfikir untuk melakukan sesuatu.Apa yang paling nyata,cinta boleh mati jika jiwa telah mati!Itulah salah satu sebab kenapa kadangkala isteri nampak baik dan cantik tetapi suami tetap cari lain juga!Harus diingat,ikatan jiwa lebih penting dari segalanya.Ikatlah hati suami anda dari awal perkahwinan lagi.
Apa yang disarankan di atas adalah sebagai usaha untuk menyemarakkan cinta terhadap pasangan dan anak-anak.Rahsia ilmu Allah ke atas diri makhluknya tidak pernah tersingkap.Allah jua yang Maha Mengetahui.
Firman Allah swt:

'Dan pada sisi Allahlah kunci-kunci semua yang ghaib,tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri,dan Dia Mengetahui apa yang di daratan dan di lautan,dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia Mengetahuinya,dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi,dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering melainkan tertulis dalam kitab yang nyata(Loh Mahfudz)
(surah Al-An'am:59)

Saturday, December 19, 2009

Izinkan DIRI berbicara



Hampir 2 bulan diri ini  berada dalam dunia blog.Terasa kepuasan yang tidak terucap oleh kata-kata.Terima kasih atas sokongan teman-teman seperjuangan yang memberi sokongan.
Izinkan diri ini berbicara seperti kalian dan terjemahkanlah segala kekurangan dan kesilapan yang diri ini lakukan.

Buat pengunjung yang sudi singgah di blog ini,terima kasih kerana memberi kesempatan untuk diri ini meluahkan apa yang terpendam dan berkongsi ilmu.Diri ini tidak bertujuan untuk mengajar,kerana diri ini jua insan yang serba kekurangan....tetapi sekadar ingin berkongsi ilmu.Siapalah diri ini dibandingkan dengan insan lain!


Banyak perkara yang kita lihat berlaku di sekeliling kita...
namun diri ini tiada kuasa dan kekuatan untuk membetulkan keadaan.Justeru mungkin dengan cara menulis,diri ini dapat menyumbangkan sesuatu kepada agama.Harapan dan doa diri ini agar ada yang tersentuh hati...walau pun sedikit.Diri ini amat memahami bahawa cahaya hidayah datangnya dari Allah.Tetapi sama-samalah kita menanti cahaya itu.Tiada yang mustahil dalam hidup ini.
 Diri ini tidak pernah menghakimi insan lain melalui luaran,
kerana tiada siapa yang tahu akan kesudahan seseorang itu.

Ingin diri ini berkongsi satu kisah yang mungkin boleh membawa pengajaran untuk semua.
Pelajar ini sering ponteng sekolah serta melakukan berbagai gejala sosial.Titik perubahan berlaku apabila diri ini mengambil inisiatif untuk menziarahinya di rumah dengan tujuan mengenal latarbelakang keluarganya.
Rupanya perhatian yang diberi menyebabkan dia tersentak hati.Begitu jua di sekolah,berbagai cara diri ini lakukan agar dia mengerti bahawa ada insan lain yang masih menyayanginya.Kini,dia telah berjaya dalam peperiksaan SPM dan berada di Tingkatan 6.
Ini hanya satu kisah terpencil yang berlaku dalam masyarakat.Kalau guru-guru lain memang sudah berputus-asa dengan sikapnya,rupanya dia boleh berubah jika Tuhan mengkehendakinya.Beberapa kes lain seperti pelajar yang pernah menghadapi tuduhan cobaan membunuh ibu kandungnya sendiri jua boleh berubah,siapa kita sebagai manusia biasa untuk melabelkan insan lain dengan itu dan ini?
Duhai temanku....

Kisah di atas jadikanlah pengajaran bahawa tidak mustahil seseorang itu berubah.Justeru itu....dalam apa keadaan jua,jangan lupa berdoa agar Allah memberi petunjuk kepada hati kita.Semoga hari-hari yang dilalui memberi erti dan makna yang bakal menyuluh kegelapan jiwa! 

Thursday, December 17, 2009

Salam Hijrah



Kita kini berada di ambang tahun baru 1431H.Penghijrahan Nabi Muhammad saw bersama para sahabat diambil sebagai tarikh permulaan kalender Islam dan telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab r.a.
Keadaan kita masa kini tidak menuntut kita untuk berhijrah seperti Nabi saw dan baginda berhijrah bukan untuk melarikan diri...TETAPI semata-mata untuk menegakkan agama Islam.Apa yang perlu kita lakukan ialah penghijrahan dari segi peningkatan diri di sisi Allah swt.
Sabda Rasulullah saw:
'Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah ke atasnya.'

Segala peristiwa pahit manis yang tersimpan sepanjang tahun 1430H tidak berakhir begitu saja.Segala amalan kita samada baik atau buruk akan tersimpan dalam buku catatan amal dan akan dibuka semula suatu masa nanti. 
Justeru itu...seharusnya kita muhasabah diriterhadap apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun ini.
Apapun azam anda,sepatutnya perlu ada penambaikan dari tahun sebelumnya.


Takkan tudung bertambah bilangan dengan pelbagai fesyen dan warna tahun demi tahun,tapi tidak ada usaha bersungguh untuk menutup aurat kita di hadapan bukan muhrim!Contoh yang nyata bila adik-beradik suami datang ke rumah.Kita tak kisah pun nak bertudung,sedangkan kita dengan mereka adalah muhrim sementara yang mewajibkan kita menjaga batas aurat.

Betul-betullah bertudung mengikut syarak.Fesyen kontemporari tu boleh tapi pastikan melepasi piawai yang ditetapkan.Jangan bertudung tapi nak jambul pulak!Lagi tak boleh kalau togel tidak bertudung!
Takkan kain telekung bertambah sampai 4 pasang,sejadah sampai 10 helai kat rumah,TAPI amalan solat kita masih sama seperti mula-mula baligh dulu.Slow and steady gak.Al-Qur'an,berapa kali kita pegang,sedangkan majalah......tak terhitung oleh jari.Sampai jual lelong kerana tak ada ruang nak letak!
Masuk tahun baru ni berazamlah untuk kebaikan diri sendiri.Kalau dulu kita solat sorang-sorang,cuba bentang sejadah belakang suami dan jadikan solat berjemaah sebagai amalan.Segala sifat negatif tu usaha untuk singkirkan.Jangan buat azam terlalu banyak...nanti bila selalu tak tercapai,kita dah malas nak berazam.
Jangan jadikan Ma'al Hijrah hanya sebagai sambutan tahun baru bagi umat Islam.Ingatlah sabda Rasulullah saw:

'Rebutlah 5 kesempatan sebelum datang 5 yang lain.Masa mudamu sebelum masa tuamu,masa sihatmu sebelum sakit,masa kaya sebelum fakirmu,masa lapang sebelum datang kesempitanmu dan masa hidup sebelum datang kematianmu'
Apa yang bakal terjadi dalam kehidupan kita bukan dalam pengetahuan kita.Oleh itu bersungguhlah dalam apa jua yang dilakukan agar Allah memberi yang terbaik untuk kita.Kalau di lampu isyarat kita boleh berhenti bila lampu merah,hatta di tengah malam pun walaupun tiada kenderaan lain.Biarpun tiada polis atau kamera litar tertutup.TETAPI kenapa ramai yang melanggar perintah Tuhan?
Renung-renungkanlah.Kalaulah pahala tu seperti butiran permata ,pastinya ramai yang berebut-rebut untuknya!
Ingatlah temanku.... 

Apa yang penting ialah pengisian kehidupan dan bukan berapa panjangnya umur kita.






          SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH




Sketsa kehidupan 1


Dalam kehidupan seharian,banyak perkara yang berlaku di sekeliling anda boleh menjadi pengajaran bermakna buat anda.Selangkah dalam usaha membuat teman-teman tidak jemu menjenguk blog ini,akan diselitkan sketsa dari masa kesemasa.Hayatilah makna yang tersirat.
Senario 1
A          : Tadi aku nengok engkau bersolat.Takda tuma'ninah pun baik dalam   rukuk,iktidal dan sujud.
B:         : Hah?Ape,Mak Minah?Apa pulak nak solat nak ajak Mak Minah sebelah rumah?
A          : Hek eleh,udah le jahil,pekak pulak.Tuma'ninah tu ialah berhenti sebentar dalam rukun tertentu. Menurut mazhab Syafie,antara rukun solat ialah mesti di sertai tuma'ninah pada rukuk,iktidal,sujud dan duduk antara 2 sujud.Patutlah aku tengok kau solat sama seperti ayam patuk makanan.
Punyalah laju.
Senario 2

A          :Bekalan air paip kan takda.Pagi tadi kau masuk tandas,cebuk dengan air  apa?
B          :Alaa..takkan nak guna air kopi pulak!Tentulah air dalam baldi kecik       dalam tandas tu.
A        : Hati-hati sikit,pastikan air tu air mutlak.Air mustakmal(air suci tapi tak  boleh menyucikan)  tak boleh buat cebuk.Kalu kau lepas tu ambik wuduk  dan gi solat,tak sah solat tu!Kan antara syarat sah solat ialah suci seluruh anggota badan,
pakaian dan tempat.
Senario 3

Dol       :  Bang Aji,tu...anak dara Bang Aji nak gi kerja tu.Tolong le tegur sikit. Pakaian udah le ketat,rambut mengerbang,baju singkat  pulak.!!!Aku tengok pun stim.
Bang Aji : Hoi,busibody betullah kau ni.Isteri kau tu nak letak mana? Dia dah  besor panjang.Dia tanggunglah sendiri dosa dia.
Dol       :  Hai,tak bolehlah macam tu Bang Aji.Aji pun kena tanggung dosa gak.   Anak kita kalau tak dididik dengan ilmu Fardu Ain,bila besar nanti,kita dapat sahamnya gak!Kalu anak tu tak tutup aurat sebab jahil,ayahnya pun dapat share.Kalau 5 orang plus bini,banyak tu saham Bang Aji dapat.Tanggung le!!
Senario 4



Janu       :Semalam aku nampak isteri kau cuci baju...amboi senang bebenor.    Termasuklah baju yang kau pakai gi solat ni.Semuanya pakai sumbat aje dalam washing machine bersama pakaian anak kau yang terkena najis.Bzzzzzz.Angkat terus jemur.
Apin      : Apa nak heran.Itulah tugas washing machine.Takkan nak suruh isteri   aku basuh tangan kut!Aku pun sayang bini aku.
Janu      : Memang le bersih ,tapi pakaian tu tak suci.Kalu pakaian tu di bawa       solat,solat tak sah.Kan antara perkara yang boleh membatalkan solat ialah terkena najis secara langsung yang tidak dapat dimaafkan pada badan,pakaian atau tempat solat.
 
Mungkin ini antara kisah jahil yang berlaku di sekeliling kita.Kalau ilmu tak cukup,padahnya segala amal ibadah kita tak diterima.Ingat banyak le amalan kita,rupanya bila check akaun amalan,eh,zero?
Kisah sekadar untuk renungan,harap maap!         

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails