Followers

Saturday, August 7, 2010

Salam Ramadhan

Bulan yang mulia bakal tiba lagi.Alhamdulillah,sampai saat ini kita masih lagi mampu bernafas dan menikmati alam nan indah ini.Akan bermulalah pemgembaraan rohani kita menyusuri rahmat dan keampunan Allah.Kita tidak mengejar pangkat,nama,atau kemuliaan di dunia,tapi adalah pangkat besar dari Allah,iaitu darjat takwa.Ini merupakan hakikat perjalanan hati untuk kembali kepada fitrah yang bersih.
Firman Allah swt:
Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa,sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah Al-Baqarah:183)
Wahai saudaraku....
Ramadhan adalah saat yang terbaik untuk meningkatkan amalan takwa dan mengembalikan hati kepada fitrahnya.Sebenarnya hati yang hidup tidak akan merasa tenteram dan tenang selagi ia tidak menemui jalan untuk berbuat taat kepada Allah swt.Itu sebabnya segala permasalahan perlu diselesaikan dengan cara kembali kepada fitrah manusia.Bohonglah jika manusia mengaku merasa tenang dengan mengunjungi pusat-pusat hiburan.
 
Ramadhan tiba dengan membawa bersamanya  rahmat dan keberkatan yang melimpah-ruah.Ambillah peluang ini untuk membersihkan diri anda.Kalau tidak berusaha manakan dapat hasilnya.Allah telah mengangkat bulan Ramadhan sebagai bulan mustajab doa dan akan membayar sendiri ganjaran untuk ibadah puasa Ramadhan ini.
Duhai saudaraku....
Allah tidak melihat rupa paras seseorang ...tapi yang penting adalah hati.Justeru dalam melakukan amalan dan ibadah puasa,kualiti hati adalah penting.Walaupun pada zahirnya kita berpuasa,meninggalkan makan dan minum,tapi tiada siapa yang tahu pekerjaan hati kita kecuali Allah.Pekerjaan hati sepanjang bulan Ramadhan akan menentukan apakah ibadah kita menghasilkan sesuatu dan diterima Allah.
Ingatlah saudaraku....
Berpuasa yang diwajibkan ke atas manusia merupakan latihan jiwa untuk menjadikan kita golongan yang bertakwa.Menahan diri bukan sekadar dari makan dan minum!Dalam kepayahan untuk menhan diri,hati sentiasa bergolak dan bergelut dengan nafsu yang sentiasa mengajak melakukan perkara yang haram.Jadi melakukan ibadah puasa bukan semudah disangka.

Sesetengah manusia dipermudahkan oleh Allah untuk melawan keinginan yang jahat ini,manakala ada jua yang merasa amat susah untuk melawan nafsu dan akhirnya tunduk kepadanya.Samaada payah atau mudah,kita perlu sentiasa berusaha untuk mengembalikannya kepada fitrah yang bersih.Sesungguhnya bantuan Allah itu amat dekat bagi orang yang memahami.
Firman Allah swt:
Siapa yang bermujahadah di jalan Kami,Kami tunjukkan jalan Kami.
(surah Al-Ankabut;69)
Jika di bulan lain kita susah untuk membersihkan diri,jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai permulaan.Buangkan segala sikap ego kita yang sering merangsang kita melakukan tindak-tanduk negatif.Kita perlu menjalankan ibadah ini dengan penuh kehambaan,merendah diri,redha dan sabar.Kita puasa tapi masih cepat marah,bersedekah tapi tak ikhlas,baca Qur'an sekadar untuk menunjuk-nunjuk.Ini semua berpunca dari sifat ego dalam hati yang sukar ditundukkan.

Sememangnya kita tahu bahawa dalam bulan puasa syaitan dirantai sejak awal Ramadhan,tapi ingatlah bahawa nafsu terus meronta untuk dipenuhi keinginannya.Satu-satunya cara untuk menundukkan nafsu adalah melalui latihan jiwa dan mujahadah.Jadi bawalah hati bersama apabila anggota kita berpuasa.
Sabda Rasulullah saw:
Betapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa dari puasanya itu melainkan lapar dan dahaga.
Sesungguhnya saudaraku....
Berbagai kesukaran dan cabaran yang perlu kita harungi sepanjang bulan Ramadhan.Memang sakit,tubuh kita tidak biasa dengan rutin itu. Namun...untuk mendapat pangkat 'takwa' dari Allah,perlulah melalui kesukaran dan kesakitan ini.Diakhir Ramadhan kelak diharapkan kita mampu melaksanakan segala perintah Allah dengan mudah tanpa memaksa-maksa diri.Semoga kemenangan ini akan kita capai pada akhirnya.

2 comments:

  1. Salam...

    Moga cikgu sihat hendaknya..

    Selamat menyambut kedatangan Ramadhan, moga diambil semua peluang yang telah Allah sediakan di dalamnya dan semoga mendapat keampunan dari~Nya.

    Maaf atas segala kesilapan...

    ReplyDelete
  2. salam Ramadan.Sama2lah kita menghayati bulan yang mulia ini , moga bertambah amal ibadah serta mendapat keberkatan dariNya.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails